20 Januari 2009

Kembali ke Kuliah..

Minggu ini perkualiahan bermula kembali seperti biasa. Wajah-wajah ceria sahabat-sahabat yang baru kelihatan melihatkan semangat baru masing-masing untuk meneruskan usaha menuntut ilmu yang pastinya menjadi harapan ayah bonda di kampung. Tidak terlepas juga ada yang belum puas menceritakan pengalaman cutinya sehingga kadang-kadang membuat rakan-rakan yang mahu fokus di dalam kuliah sedikit terganggu.

Di sebalik keadaan itu juga, saya berasa amat simpati dengan sahabat-sahabat kita yang belum dapat mendaftar kuliah (baca: KRS). Ada yang wangnya belum dipindahkan oleh agen ke USU, ada yang buku hilang, ada yang terlambat untuk pindahkan wang kuliah, ada yang masalah on-line, dan banyak lagi masalah yang saya rasakan berat mata memandang, berat lagi bahu rakan-rakan yang memikulnya.


Paling membuatkan saya kagum ialah ada daripada kalangan rakan-rakan tersebut yang belum dapat mendaftar, maka mereka sebenarnya tidak dapat mengikuti kegiatan kuliah, namun dengan semangat membara untuk mencapai kejayaan, mereka tetap mengikuti kuliah, lab dan kelas tutorial walaupun ada yang dihalau oleh dosen kerana nama mereka diblack list. Syabas saya ucapkan kepada anda! Semangat seperti anda sebenarnya patut dicontohi walapun pelbagai ara melintang datang mengganggu niat suci anda.


Kisah Imam Syafi’i Dalam Menuntut Ilmu


Pada kesempatan ini, saya ingin mengambil contoh seperti yang ditunjukkan oleh seorang tokoh ilmuan Islam dalam usaha dan semangat beliau menuntut ilmu, di mana beliau menjadi mentari keilmuan agama saat itu, pembaharu agama Islam (mujaddid) di abad pertama dari perjalanan panjang sejarah umat Islam, dan merupakan tokoh bangsa Quraisy yang diramalkan Nabi sebagai penyebar ilmu pengetahuan di seluruh pelusuk negeri Islam. Beliaulah Muhammad bin Idris As-Syafi’i atau lebih dikenal di kalangan kita sebagai Imam Syafi’i.


Imam Syafi’i dilahirkan dalam keadaan kemiskinan dan kekurangan, serta kehilangan ayahnya ketika usia kecil. Walaupun demikian, ibunya, Fatimah tidak menjadikan itu sebagai alasan untuk menghantar puteranya ke tempat belajar. Ternyata, sang putera beliau ini memiliki kadar IQ yang tinggi, disamping ketekunan yang tidak mampu dijangkau oleh remaja-remaja abad ke-15 H saat itu. Meski ibunya tidak mampu membelikan kertas untuk puteranya, sang putera ini tidak malu mengais papah kurma, tulang-tulang unta, dan pecahan genting untuk ditulis pengetahuan yang beliau terima dari guru-guru beliau.


Pada usia sepuluh tahun, beliau amat berminat untuk mendalami ilmu fikih sehingga menghafal kitab Al-Muwatho’ karangan Imam Malik bin Anas dalam masa sembilan hari. Sungguh luar biasa usaha ini kerana Imam Malik sendiri belum beliau temui.


Beliau juga mempelajari ilmu-ilmu berkaitan fikih pada ulama’-ulama’ Makkah sehingga pada usia lima belas tahun, beliau telah diberi izin oleh gurunya di Makkah untuk memberi fatwa di Masjid Haram. Menjelang usia tujuh belas tahun, keinginan merantau ke kota Madinah, untuk mengabdi dan belajar kepada Imam Malik bin Anas, yang selama ini mejadi tokoh ulama’ idola beliau, tidak terbendung lagi.



Meski kemiskinan hidup dan perasaan penuh kesedihan untuk meninggalkan ibu tercinta, semangat belajar beliau tidaklah menyusut, bahkan membakar seluruh rasa kesedihan yang mendera sampai tiada tersisa dari jiwa beliau kecuali menggapai cita-cita atau kematian menjemput di tanah rantau. Beliau berkata;


Aku akan pergi menjelajahi seluruh negara

Akan kugapai semua cita-citaku

Atau aku akan mati sebagai orang rantau

Bila aku mati maka kebajikannya bagi Allah

Dan bila selamat, kembali pulang ke tanah air tidak akan lama.


Begitulah sekelumit kecil kisah agung Imam Syafi’i yang mampu saya nukilkan dalam ruangan dan waktu yang terhad ini. Ketekunan, ketabahan, kecerdasan yang dianugerahi Allah kepada beliau, membuktikan sebuah setting sutradara kehidupan yang menghendaki Imam Syafi’i sebagai pembaharu agama Islam di masa datang untuk melepaskan umat dari kejahilan. Anda boleh membaca lebih lanjut kisah beliau di dalam kitab-kitab yang boleh didapati di toko-toko buku.


Kisah tokoh-tokoh Islam seperti Imam Syafi’i, Imam Malik, Imam Hassan Al-Banna, dan tokoh-tokoh ilmuan Islam lain patut dibaca dan diambil iktibar oleh kita sebagai contoh teladan kita dalam menjalani kehidupan sebagai penuntut ilmu. Track record yang mereka lakarkan dalam kehidupan mereka menggambarkan akan sifat mereka yang dahagakan ilmu, mulianya mereka oleh ilmu, dan cintanya mereka untuk menebarluaskan ilmu mereka demi melihat umat bebas dari kejahilan.


Maka, jangan lupa, dalam kita menuntut ilmu, pastikan ianya bukan sekadar untuk lulus ujian atau mendapat segulung ijazah, malah dapat menyebabkan tersingkapnya kebesaran Allah dalam ilmu yang kita pelajari sehingga bertambahnya iman, dan juga dapat diamalkan dan disampaikan kepada orang lain. Malah keperitan dan kesusahan yang dihadapi ketika belajar seperti yang saudara-saudara alami saat ini merupakan lumrah seseorang sebelum bergelar wira.


Saya akhiri tulisan ini dengan kata-kata daripada Imam Syafi’i untuk kita ambil ibrahnya bersama;


Di antara keutamaan ilmu bagi yang melayaninya

adalah menjadikan semua manusia sebagai pelayannya

Wajib bagi pelayan ilmu menjaga ilmu

Seperti ilmu menjaga harga diri dan darahnya di hadapan manusia

Barangsiapa memiliki ilmu, kemudian dia titipkan

Kepada bukan ahlinya kerana kebodohannya

Bererti dia telah menganiayai ilmu.


Wallahu’alam.

Tiada ulasan:

 


ZIKIR & FIKIR - Templates Novo Blogger 2008