11 Januari 2009

Bangkitlah dari Lenamu !!

Sungguh aneh melihat umat Islam pada hari ini. Terima atau tidak, hakikatnya umat Islam telah jauh ketinggalan dari sudut kesarjanaan dan keintelektualan yang dulunya dikuasai oleh kita. Lihatlah betapa orang-orang Barat yang tidak mempercayai ketauhidan Allah, malah ada yang menafikannya begitu menguasai dunia dengan pelbagai teknologi dan kajian-kajian saintifik yang begitu penting dalam membantu kehidupan manusia pada hari ini.

Adakah umat Islam hanya berdiam diri dan terus mandul tanpa sebarang usaha ke arah menguasai kembali ilmu-ilmu pengetahuan yang sememangnya milik kita? Tidak malukah kita kepada Allah dan Rasul yang telah mewariskan kepada umat ini dua sumber yang terbesar dan autentik agar kita berpegang teguh pada keduanya, justeru kita tidak akan sesat selamanya, malah akan cemerlang dunia dan akhirat?

Allah menjelaskan di dalam Al-Quran, ”Dan Kami menurunkan kepadamu sebuah kitab yang menjelaskan mengenai setiap perkara (di samping itu) ia merupakan petunjuk serta rahmat dan berita gembira bagi mereka yang Muslim” (An-Nahl: 89).

Motivasi daripada Allah Agar Mengkaji Alam

Jika ditelusuri ayat-ayat Allah di dalam kitabNya yang agung, banyak sekali rangsangan dan gesaan daripada Allah S.W.T. untuk umat Islam merenungi, berfikir, serta mengkaji tentang alam semesta ciptaan Allah S.W.T. agar bertambah keimanan kita kepadaNya.

Firman Allah S.W.T., “Apakah mereka tidak melihat kepada unta bagaimana ia diciptakan. Dan langit bagaimana ia ditinggikan. Dan gunung-ganang bagaimana ia ditegakkan. Dan bumi bagaimana ia dihamparkan.” (Al-Ghasyiah: 17-20).

Bukan itu sahaja, malah Allah memuliakan golongan yang suka mengkaji alam ini dengan gelaran ’ulul albab’ dan menyebutkannya di dalam Al-Quran sebanyak 16 kali.

Firman Allah S.W.T., ”Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi, dan silih bergantinya malam dan siang terdapat tanda-tanda bagi ulul-albab. (Iaitu) orang-orang yang mengingati Allah sambil berdiri ataupun duduk ataupun dalam keadaan berbaring dan mereka banyak berfikir mengenai penciptaan langit dan bumi kemudian berkata, ’Wahai Tuhan kami, tiadalah Engkau menciptakan ini sia-sia. Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami daripada siksa neraka’”. (Ali Imran: 191).

Siapakah Ulul-Albab??

Di dalam kitab tafsir Fi Zhilalil Quran, Sayyid Quthb telah mengungkapkan pengertian yang cukup indah tentang siapakah golongan ulul-albab ini. Beliau mengatakan bahawa ulul-albab adalah orang yang memiliki pemikiran dan pemahaman yang benar. Mereka membuka pandangan mereka untuk menerima ayat-ayat Allah pada alam semesta, tidak memasang penghalang-penghalang, dan tidak menutup jendela-jendela antara mereka dengan ayat-ayat ini. Mereka menghadap kepada Allah dengan sepenuh hati sambil berdiri, duduk dan berbaring. Maka terbukalah (pandangan) mereka, menjadi lembutlah pengetahuan mereka, berhubungan dengan hakikat alam semesta yang diamanahkan Allah kepadanya, dan mengerti tujuan keberadaannya, alasan ditumbuhkannya, dan unsur-unsur yang menegakkan fitrahnya – dengan ilham yang menghubungkan antara hati manusia dan undang-undang alam ini.

Golongan ulul-albab ini tidaklah dapat disamakan dengan saintis-saintis barat yang ada pada hari ini walaupun saintis-saintis ini telah mengkaji dan meneliti dari sekecil-kecil DNA sehinggalah ke sebesar-besar angkasa raya. Ini kerana ilmu sains barat adalah bertitik tolak dari ajaran materialisme kafir yang telah memutuskan hubungan antara alam dan Penciptanya, dan memutuskan hubungan antara ilmu-ilmu alam semesta dan hakikat azaliah yang abadi. Maka wajarlah manusia-manusia ini menjadi kutukan yang menjauhkan mereka dari rahmat Allah, sehingga menjadikan kehidupan mereka huru-hara (walaupun maju dari sudut sains, namun amat mundur dari sudut akhlak dan rohani).

Kembalilah ke Akar Umbi Kita

Menjadi tanda tanya apakah kita perlu meniru-niru barat (berkiblatkan barat) dalam usaha kembali menguasai ilmu-ilmu ini? Di manakah titik tolak anjakan paradigma umat Islam hari ini untuk mengubah world-view mereka tentang pentingnya sifat ’tamak’ dalam menggarap ilmu-ilmu sains dan teknologi daripada terus dipelopori oleh orang-orang kafir? Maka, jawapannya tidak lain dan tidak bukan adalah kembali kepada Al-Quran dan Sunnah, pegangan asas umat Islam dalam semua aspek kehidupan.


Sedarlah bahawa Al-Quran yang berada di tangan kita selama ini bukanlah hanya sekadar untuk dibaca dan dihafal. Jauh daripada itu, ia adalah sebuah kitab ilmiah yang teragung, yang membuktikan kebenaran akan keagungan Allah S.W.T.. Dan sedarlah juga bahawa alam dan makhluk ciptaanNya bukanlah hanya untuk direnungi, tetapi dianjurkan juga oleh Al-Quran untuk kita melakukan kegiatan ilmiah serta aktiviti lainnya demi memakmurkan bumi Allah, sekaligus sebagai penerapan fungsi kekhalifahan secara benar.

Syaikh Muhammad Al-Ghazali, seorang tokoh pemikir Islam, di dalam bukunya bertajuk Al-Quran Kitab Zaman Kita telah menyimpulkan bahawa Al-Quran membangun keimanan dengan mengkaji masalah-masalah yang ada di seputar alam, juga mengkaji iman secara psikologis. Berbeza dengan kitab-kitab samawi sebelumnya, yang hampir-hampir boleh dikatakan bahawa yang menjadi sumber keimanannya adalah rasul yang bercerita tentang Allah. Adapun mengenai perintah berfikir, Al-Quranlah yang mewajibkannya untuk kita, bersamaan dengan perkembangan ilmiah yang mendukung gambaran Al-Quran terhadap alam ini dan memadukan antara ilmu dan iman.

Maka beruntunglah dan bersyukurlah kita kerana diturunkan Al-Quran dan Sunnah Nabi agar setiap perjalanan kita sentiasa diiringi kejayaan. Lalu bangkitlah kembali wahai para pemikir dan saintis Islam agar kembali menyumbang segala bentuk jihad keintelektualanmu demi melihat umat ini jauh dari kejumudan dan keterbelakangan. Dan bangkitlahlah juga seluruh umat Islam dari lena yang panjang agar kita kembali ke pangkal jalan dan bersama-sama berganding bahu membangunkan peradaban Islam di muka bumi ini. Wallahu’alam.

Oleh : Wan Mohd Suhafifi bin Sukri @ wansufikir








Tiada ulasan:

 


ZIKIR & FIKIR - Templates Novo Blogger 2008