04 Mac 2009

Siapakah Ulama'?

Siapakah ulama’ ?? Persoalan yang sering bermain di fikiran saya. Kalau menurut bahasa arab, secara sederhananya ia bermaksud orang yang berilmu. Jadi adakah semua orang yang menuntut ilmu, bermula dari belajar ABC dan mengira 123 di tadika, sehinggalah belajar di puncak menaring gading sudah boleh digelar ulama’ kerana ilmu-ilmu yang mereka miliki?


Atau apakah ulama’ itu gelaran eksklusif yang menggambarkan seorang pelajar lepasan Al-Azhar, atau seorang guru yang mengajar agama di sekolah-sekolah atau di pondok-pondok pengajian, atau bagamana?...


Persoalan ini perlu dijawab dengan tuntas kerana penggunaan istilah ini yang salah akan membawa kepada salah pula pengertiannya. Akibat dari itu, maka istilah ulama’ itu sendiri nanti tidak akan menggambarkan definisi sebenar seperti apa yang dikehendaki oleh kaca mata pandangan Islam.


Jadi, apakah sebenarnya definisi ulama’ ? Persoalan ini sebenarnya telah dijawab secara jelas lagi menjelaskan oleh guru kami, Al-Fadhil Ustaz Zulkifli Haji Ismail di dalam kitab beliau yang agung iaitu Ancaman Bahaya Sekularisme. Pada bahagian pendahuluan kitabnya, beliau telah menguraikan maksud sebenar ulama’ yang dibahagikan kepada ulama secara umum dan ulama’ secara khusus.


Guru kami, Ustaz Zulkifli Haji Ismail


Ulama' Dalam Pengertian Umum


Seorang ulama’ secara umumnya adalah setiap Muslim yang telah memiliki ilmu yang luas, mantap, lagi sangat mendalam di dalam sebarang cabang ilmu pengetahuan yang dituntut oleh Islam manusia mempelajarinya. Kedalaman ilmunya itu sampai ke peringkat menyingkap kepadanya hakikat sebenar kebergantungan alam ini kepada Allah SWT yang Maha Berkuasa dan membawanya kepada suasana menyaksikan bagi dirinya dan manusia akan kebenaran ketauhidan, keindahan, kebesaran dan keagungan Allah SWT yang Maha Berkuasa itu.


Perasaan tersebut yang berpunca dari ilmunya yang mendalam itu mewariskan ke dalam dirinya perasaan kebimbangan dan ketakutan yang sebenar terhadap Allah SWT. Perasaan bimbang dan takut ini jugalah yang akhirnya mendorongnya mentaati segala suruhan Allah SWT dan menjauhi segala laranganNya serta menghalusi setiap ketaatannya itu dengan adab-adab kehambaan yang amat tinggi.


Ulama’ dengan pengertiannya yang asasi ini adalah yang termasuk di dalam pengajaran firman Allah SWT dalam surah Faathir ayat 28 yang bermaksud :

..Sesungguhnya yang takut kepada Allah di antara hamba-hamba-Nya, hanyalah ulama’. Sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Pengampun.


Sebagai contoh, seorang mahasiswa kedokteran mempelajari dan mendalami ilmu anatomi sehingga suatu tahap beliau merasakan bahawa terlampau uniknya rupa bentuk dan susunan setiap unit tulang, otot, sendi, aliran darah, saraf, dan organ sehingga ia saling terkait dan memerlukan satu sama lain dalam membentuk suatu sistem tubuh bagi menggerakkan manusia secara normal.


Perasaan kagum ini membuatkan beliau mencari akan pencipta sistem yang sebegitu sempurna. Dan akhirnya pasti beliau akan menemui akan adanya zat Yang Maha Bijaksana dan Maha Berkuasa dalam mencipta setiap sesuatu dan mengaturnya dengan penuh hikmah dan seimbang sehingga bertambahlah keimanannya akan wujudnya Allah dalam setiap pengaturan alam ini.


Ulama' Dalam Pengertian Khusus


Pengertian ulama’ secara khususnya pula ialah selain dari ciri-ciri umum yang disebutkan tadi, mereka juga adalah golongan beriman yang telah berjaya memahami dan menguasai mana-mana bahagian dari ilmu syariat atau keagamaan secara meluas dan mendalam, yang telah diperintahkan oleh Allah SWT ke atas seluruh golongan beriman bertanya kepada mereka di dalam memahami ajaran agama yang diturunkan oleh Allah SWT kepada manusia.


Tuan Guru Nik Aziz bin Nik Mat

Di dalam Al-Quran, ulama’ sedemikian telah disebut sebagai golongan yang memiliki pengetahuan yang sangat teguh dan mendalam terhadap Kitab yang diturunkan oleh Allah SWT. Firman Allah SWT di dalam surah al –Anbiyaa’ ayat 7 yang membawa maksud :


Kami tiada mengutus Rasul-rasul sebelum kamu (Muhammad), melainkan beberapa orang-laki-laki yang kami beri wahyu kepada mereka, Maka tanyakanlah olehmu kepada orang-orang yang berilmu, jika kamu tiada Mengetahui.


Di dalam hadis Nabi SAW, mereka yang memiliki ilmu yang teguh dan mendalam terhadap Kitab Allah SWT telah disebut oleh Rasulullah SAW sebagai waris kepada para Nabi AS yang mewarisi ilmu pengetahuan para nabi terhadap ajaran-ajaran agama yang telah diturunkan oleh Allah SWT di dalam KitabNya. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud :


Sesungguhnya para ulama’ itu adalah waris para Nabi, sesungguhnya para Anbiaa’ tidak mewariskan dinar dan juga dirham, mereka hanyalah mewariskan ilmu, maka sesiapa sahaja yang mengambilnya maka dia sebenarnya telahmendapatkan bahagian yang paling sempurna.


Oleh yang demikian para ulama’ yang menjadi pewaris ilmu para nabi AS tersebut selain dari pengetahuan mereka yang telah benar-benar mendalam terhadap ketauhidan, keindahan, kebesaran dan keagungan Allah SWT, mereka pula adalah pemelihara kebenaran dan penjaga ketulinan ajaran-ajaran agama, manhaj dan syariat Allah SWT secara teguh dan tetap dengan mengambil kefahamannya dari keterangan-keterangan Sunnah Rasulullah SWT melalui kaedah keilmuan yang diakui pemakaiannya oleh Al-Quran dan Sunnah RasulNya sendiri.


Oleh itu para ulama’ dengan sebab ilmunya yang mendalam adalah golongan manusia yang sangat menjaga kesenian adabnya terhadap Tuhannya, sangat mematuhi dan mengagungkan syariat Tuhannya, sangat mengharapkan balasan baik di akhirat dan sangat berhati-hati pula terhadap pengaruh kesenangan dan kemewahan dunia yang selalu meragut kesetian manusia terhadap Allah SWT yang Maha Berkuasa.


Sahabat-sahabat sekalian, lihatlah pada hari ini akan munculnya golongan-golongan tertentu, yang kononya bergelar bijak pandai dan dongengnya juga ingin memperjuangkan Islam, secara terang-terangan telah menentang para ulama’ yang berada di manhaj yang benar. Mereka bukan sahaja menolak pendapat ulama’ dan sanggup memberikan gelaran yang bukan-bukan kepada golongan ulama’, malah mereka turut menghidupkan dan memperjuangkan ajaran sekular yang pastinya sudah jauh menyimpang dari perjuangan yang dibawa oleh para ulama’.


Sedarlah bahawa apa yang terjadi hakikatnya adalah pertembungan di antara para intelektual dan ahli-ahli akademik yang berfahaman sekular atau yang sekurang-kurangnya masih beraqliah sekular dengan golongan para ulama’ yang diakui oleh Islam dalam pengertian umum dan khusus. Ia bukanlah pertembungan antara para ulama’ Islam yang menjadi pewaris Nabi AS atau pertembungan agama dengan penemuan-penemuan sains yang sebenar, sebagaimana yang cuba digambarkan oleh para intelektual dan ahli-ahli akademik sekular tersebut.


Dengan mengetahui hakikat sebenar maksud dan tujuan para ulama’, termasuk pembahagian-pembahagianya, saya mengharapkan agar saya dan para sahabat sekalian dapat bersama-sama berusaha menjadi sebahagian dari golongan para ulama’ tersebut. Biarlah segala yang kita pelajari dalam apa jua bidang sekalipun semuanya menuju ke arah meningkatkan keimanan kepada Allah SWT dan untuk mengenal akan kebesaranNya.


Hindarkanlah dan janganlah terperangkap dengan dakyah-dakyah golongan-golongan sekular yang seringkali cuba mencari peluang dalam mengelirukan akidah umat Islam dan mencemarkan ajaran Rasulullah yang murni ini. Mungkin pada lain kesempatan saya akan membawakan contoh-contoh yang berlaku di dalam mahupun di luar negara tentang tentang kejinya perjuangan golongan sekular dan liberal dalam menjatuhkan Islam.


Saya mengaharapkan Allah membantu perjuangan para ulama’ di negara yang kita cintai, Malaysia dalam usaha menentang golongan Sekular laknatullah dan mewujudkan kembali segala ajaran Islam yang suci sehingga menaungi seluruh alam ini sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud :


Dan perangilah mereka itu, sehingga tidak ada fitnah lagi dan (sehingga) ketaatan itu hanya semata-mata untuk Allah. Jika mereka berhenti (dari memusuhi kamu), maka tidak ada permusuhan (lagi), kecuali terhadap orang-orang yang zalim.


Wallahu’alam.

1 ulasan:

Pemasaran & Jualan (01115099848) berkata...

Masya'allah wansu. Begitulah takrifan ulama' yang sebenar menurut islam. Semakin mendalami ilmu (sunatullah/syariatullah), semakin mendalam ketakutan kita kepada Allah. Ya. Tak sia-sia pengajian kita bersama ust zulkifli ismail di Madrasah Baitul Qura.

Jd, bagaimana plan kita untuk meng'ulama'kan golongan profesional dan mem'profesional'kan golongan ulama dalam konteks mahasiswa Malaysia di Medan?

 


ZIKIR & FIKIR - Templates Novo Blogger 2008