29 Januari 2010

Apakah Erti Segulung Ijazah?




Pagi itu adalah pagi yang amat bermakna dalam kehidupan sebahagian manusia yang bergelar mahasiswa. Setelah sekian lama berada di bangku kuliah menimba ilmu, menekuni buku yang berjilid-jilid, dan berhempas pulas berperang di medan ujian, kini harga penat lelah mereka dihargai dengan segulung ijazah yang diterima.

“Wah, ramainya mahasiswa medic yang grad tahun ni! Kalau macam ni, mustahil Malaysia akan kekurangan doktor dalam 5 tahun lagi,” fikir saya.

Daripada 475 orang mahasiswa Fakultas Kedokteran Universitas Sumatera Utara yang diwisudakan pada tahun ini sebagai Dokter Muda, saya berada pada urutan ke-238. Kedudukan disusun berdasarkan indeks prestasi kumulatif (IPK) yang paling tinggi ke yang paling rendah.

Berdasarkan nombor urut pun sudah tahu, saya bukanlah pelajar cemerlang yang dapat dicontohi daripada aspek pendidikan dan keilmuan. Namun alhamdulillah, saya tetap bersyukur dapat diwisudakan setelah menghadapi pelbagai aral melintang dalam menepuh kehidupan sebagai mahasiswa kedokteran.

Dalam kesibukan orang bergembira mengambil foto dengan baju toga (baca: baju konvokenyen) dan segulung ijazah di tangan, saya kembali terfikir, apakah erti segulung ijazah yang diterima itu?


Gambar hiasan : Gembira di hari wisuda

Saya akui ijazah tersebut merupakan sebuah penghargaan dan anugerah atas kejayaan menamatkan pengajian, juga ‘lesen’ penting untuk melangkah ke alam pekerjaan. Tapi apakah hanya sekadar itu?

Apalah ertinya segulung ijazah jika kita belajar hanya sekadar untuk mengejar pointer yang tinggi. Apalah ertinya segulung ijazah jika ia dibeli dengan wang ringgit, tiada keikhlasan, penuh kepura-puraan, hanya untuk dibangga-bangakan, dan tiada mengenal erti kehidupan.

Dengan ijazah sebenarnya kita menggalas suatu tanggungjawab yang besar di hadapan Allah S.W.T. dan juga masyarakat. Ilmu yang diperoleh selama di bangku kuliah perlulah diamal dan dimanfaatkan sebaik mungkin. Kemuliaan ilmu itu terletak apabila ia membawa kepada ketakwaan.

Marilah kita renungkan bersama..


p/s: Alhmdulillah diberi kekuatan oleh Allah untuk menulis blog kembali. Semoga ia menjadi amal soleh untuk kita saling memberi dan menerima dalam menuju redhaNya.


Tiada ulasan:

 


ZIKIR & FIKIR - Templates Novo Blogger 2008